Make your own free website on Tripod.com

5.2 KOMPUTER DALAM PERTANIAN

 

OBJEKTIF :

Selepas mempelajari topik ini, murid akan dapat :

      Menghuraikan faedah penggunaan komputer

      Menghuraikan penggunaan komputer dalam pertanian

      Menyenaraikan peranan teknologi maklumat dan perhubungan

      Mengakses internet untuk mendapatkan maklumat dan perhubungan

      Menyediakan satu laporan projek menggunakan perisian komputer

      Memilih maklumat yang sesuai dan berkaitan dari internet

 

PENGENALAN

 

Komputer ialah satu peranti elektronik yang boleh menerima input dan memproses input itu mengikut satu set arahan. Komputer juga boleh menyimpan set arahan dan maklumat yang diproses itu serta mengeluarkan hasil pemprosesan itu sebagai output.

 

Input ialah data yang boleh direkod, diproses dan disimpan. Antara data input ialah :

      Aksara

      Nombor

      Huruf

      Imej formula

      Simbol

 

Data input tidak membawa sebarang makna melainkan setelah diproses. Data input yang diproses dan dimanipulasikan menjadi output dalam bentuk maklumat. Maklumat ini boleh diperoleh semula pada bila-bila masa. Maklumat output ini juga dikumpul dalam bentuk mengikut kehendak pengguna seperti dokumen laporan, grafik, pengiraan dan sebagainya.

 

Sistem komputer terdiri daripada :

      Perkakasan

      Perisian

 

Perkakasan

 

Perkakasan sistem komputer dikawal secara aturcara. Aturcara ialah susunan arahan bermakna yang operasinya dikawal oleh manusia. Perkakasan utama satu sistem komputer terdiri daripada :

      Monitor

      Pembesar suara

      Papan kekunci

      Unit pemprosesan pusat (CPU)

      Tetikus

      Pencetak

      Pemacu cakera (cakera padat / cakera liut)

 

 

 

Flowchart: Alternate Process: Rujuk foto 2.1
Pengajian Agroteknologi
Tingkatan 4.
 

 

 

 

 

 

 

 


 

Foto 1 : Perkakasan asas sistem komputer

 

Perisian

 

Perisian komputer ialah set aturcara yang diperlukan untuk membolehkan komputer beroperasi. Perisian komputer terdiri daripada dua jenis, iaitu :

      Perisian sistem

o       Perisian sistem pengoperasian

o       Perisian utiliti

      Perisian aplikasi

o       Perisian aplikasi umum

o       Perisian aplikasi khusus

 

Perisian sistem pengoperasian (Operating System) ialah sekumpulan aturcara dan data teratur yang digunakan semata-mata untuk mengurus dan mengawal operasi sesebuah komputer. Tanpa perisian pengoperasian, komputer tidak boleh beroperasi. Contoh perisian sistem pengoperasian ialah :

      DOS (Disk Operating System)

      Windows

 

Perisian utiliti ialah aturcara yang menyokong penggunaan perisian yang sedia ada dalam sistem komputer. Perisian ini hanya digunakan apabila perlu sahaja, iaitu seperti menyalin fail dan menyelenggara sistem komputer.

 

Perisian aplikasi umum ialah aturcara yang merupakan sebahagian komponen sistem pemprosesan komputer. Aturcara pengguna ini mengandungi tatacara dan arahan kerja yang ditentukan oleh pengguna bersesuaian dengan jenis kerja atau output yang dikehendaki. Aturcara pengguna ini membolehkan komputer memproses data dan maklumat yang dimasukkan oleh pengguna dan dikeluarkan dalam bentuk yang dikehendaki. Antara perisian aplikasi umum yang biasa dalam komputer pengguna masa kini ialah :

      Pemproses Perkataan (Word Processor)

      Pangkalan Data (Database)

      Persembahan Grafik (Graphic Presentation)

      Hamparan Elektronik (Spreadsheet)

      Aturcara antivirus

 

Perisian aplikasi khusus ialah aturcara yang dibangunkan khas untuk memudahkan pengguna membuat kerja yang khusus. Contohnya kegunaan khusus perisian komputer dalam bidang pertanian meliputi pengurusan landskap, pengurusan makanan ternakan, pengurusan kewangan dan perakaunan ladang.

 

KOMPUTER DALAM PERTANIAN

 

Pengurusan ladang merupakan satu proses yang rumit. Seorang pengurus ladang perlu menyimpan, menapis dan menganalisis pelbagai jenis maklumat sedia ada untuk membuat keputusan yang sesuai bagi menjamin keuntungan ladang. Suatu sistem maklumat komputer yang baik penting bagi membolehkan pengurus atau peladang membuat keputusan yang bijak. Pengurus atau pengusaha juga perlu mendapat maklumat yang terkini dengan cepat untuk membolehkannya bersaing dengan usahawan lain, di samping menjamin keuntungan bidang usaha yang maksimum dan berterusan. Kemajuan sektor pertanian dan perkembangan pesat bidang agroteknologi menyebabkan timbulnya keperluan penggunaan komputer dalam pertanian. Penggunaan mikro komputer dalam pengurusan ladang semakin meningkat.

 

Rounded Rectangle:  
 
Rujuk foto 2.2
Pengajian Agroteknologi
Tingkatan 4

  

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


 

Foto 2 : pelbagai jenis komputer yang boleh digunakan dalam sektor pertanian

 

 

FAEDAH PENGGUNAAN KOMPUTER

 

Penggunaan komputer mendatangkan pelbagai faedah kepada penggunanya. Antara faedah utama penggunaan komputer ialah :

 

      Menyimpan maklumat yang banyak

      Memperoleh semula maklumat dengan segera

      Melakukan pengiraan rumit dengan cepat dan tepat

      Mempunyai pelbagai jenis perisian aplikasi

      Menjimatkan masa pengguna

 

Menyimpan maklumat yang banyak

Maklumat dalam komputer disimpan dalam medium penyimpanan data atau medium storan. Antara medium storan maklumat komputer ialah cakera liut (disket atau pita magnetik), cakera padat, cakera video dan cakera keras. Keupayaan menyimpan medium storan diukur menggunakan megabait (MB). Jadual 1 membandingkan keupayaan penyimpanan data oleh beberapa jenis medium storan.


 

Jadual 1 : Keupayaan penyimpanan beberapa jemis medium storan

 

Medium

Keupayaan penyimpanan

(MB)

Cakera liut HD

1.44

Cakera liut VHD

120

Cakera padat CDR

650

Cakera video digital DVD

4700

Cakera keras

Melebihi 10,000

 

 

TAHUKAH ANDA ?

Otak manusia boleh menyimpan hampir 125 juta aksara, sementara komputer boleh menyimpan lebih daripada 125 juta aksara (1 aksara mewakili satu abjad, nombor atau simbol)

 

Memperoleh semula maklumat dengan segera

Maklumat tersimpan dalam medium storan komputer dapat diakses atau diperoleh semula dengan cepat kerana komputer berupaya melakukan operasi rumit dengan tepat dan segera.  Contohnya, komputer mampu memperoleh semula maklumat yang tersimpan dalam cakera keras dalam masa 10 100 milisaat sahaja, atau 70 600 milisaat jika maklumat itu tersimpan dalam cakera liut. Dengan kemajuan industri komputer dan penciptaan cip komputer yang semakin baik, kemampuan komputer melakukan perolehan semula maklumat semakin cepat.

 

Melakukan pengiraan rumit dengan cepat dan tepat

Litar elektronik dalm sistem komputer dibina untuk melakukan berjuta-juta operasi sesaat tanpa kesilapan. Oleh itu komputer membantu kita melakukan operasi pengiraan dengan cepat tanpa kesilapan. Walau bagaimanapun ketepatan tindakan komputer ini bergantung kepada ketepatan arahan atau maklumat yang dimasukkan oleh pengguna ke dalam sistem komputer.

Rounded Rectangle: TAHUKAH ANDA ?
Jika kita melakukan pengiraan menggunakan kalkulator, dianggarkan kita akan melakukan satu kesilapan bagi setiap 500  1000 operasi.

  

 

 

 

 

 

 

 


 

Mempunyai pelbagai jenis perisian aplikasi

Banyak jenis perisian aplikasi komputer telah dibangunkan untuk kegunaan pelbagai bidang dan disiplin. Penciptaan pelbagai jenis perisian aplikasi ini memungkinkan komputer digunakan untuk beraneka jenis tugasan. Contohnya pakej perisian Microsoft Office membolehkan pengguna melakukan kerja pengarangan teks, pengiraan kuantitatif, persembahan maklumat secara grafik dan penyimpanan data maklumat serentak dengan cekap dan selamat. Pembangunan perisian aplikasi khusus pula membolehkan kita melakukan kerja rumit dengan mudah dan cepat dalam pelbagai disiplin seperti perakaunan, perekabentukan dan sebagainya.

 

Menjimatkan masa pengguna

Kemampuan komputer untuk bertindak cepat dan tepat dalam operasinya membolehkan kita melaksana dan menyempurnakan kerja dalam masa yang singkat. Penjimatan masa ini membolehkan lebih banyak aktiviti produktif dilakukan dalam suatu tempoh masa. Keadaan ini meningkatkan produktiviti manusia dan mencapai taraf hidup yang lebih selesa.

 

 

PENGGUNAAN KOMPUTER DALAM PERTANIAN

 

Banyak pakej perisian telah dicipta dan dibangunkan untuk menyelesaikan masalah pengguna secara langsung. Sektor pertanian boleh juga memanfaatkan faedah penggunaan komputer untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti aktiviti pertanian.

 

Peladang mempunyai banyak pilihan perisian umum dan perisian khusus yang telah dibangunkan untuk diaplikasikan dalam aktiviti pertanian. Antara contoh aktiviti pertanian yang boleh dimanfaatkan penggunaan komputer ialah :

      Penyimpanan maklumat fizikal, kewangan dan urusniaga ladang

      Penyimpanan data atau direktori pelanggan, pembekal dan sebagainya

      Pelaporan aktiviti dan prestasi bidang usaha ladang

      Penyimpanan rekod ladang

      Pengiraan keperluan baja dalam program pembajaan atau keperluan kuantiti bahan bagi catuan makanan ternakan

      Perekabentukan pelan pembinaan landskap, perumahan ternakan dan sebagainya

      Persembahan maklumat ladang secara grafik.

 


 

 

Jadual 2 menunjukkan beberapa jenis perisian aplikasi yang biasa digunakan dalam pertanian.

 

Jadual 2 : Perisian aplikasi dan contoh perisian yang biasa digunakan dalam pertanian

 

Aplikasi

Contoh perisian

Kegunaan dalam pertanian

Pemproses perkataan

      Microsoft Word

      Lotus Word Pro

      Corel Word Perfect

Menyediakan laporan ladang

Persembahan grafik

      Microsoft Powerpoint

      Macromedia Authorware

      Lotus Freelance

Mempersembahkan maklumat secara grafik

Hamparan elektronik

      Microsoft Excel

      Lotus Spreadsheet 1-2-3

      Corel Quattro Pro

Melakukan pengiraan rumit

Pangkalan Data

      Microsoft Access

      Visual Fox Pro

      Dbase

Menyimpan dan memproses data

Perekabentukan

      AUTOCAD

      LANDCADD

Mereka bentuk pelan landskap dan sebagainya

Pengaturcaraan linear

      Dairy Champ

Merumus catuan makanan ternakan

 

Perisian pemproses perkataan

Perisian ini membolehkan pengguna melakukan kerja menaip seperti menggunakan mesin taip. Kelebihannya ialah hasil kerja siap lebih cepat dan lebih kemas serta boleh disimpan dengan selamat. Maklumat yang sudah dimasukkan boleh diperoleh semula dengan cepat untuk kerja-kerja penyuntingan atau dikemaskini.

 

Keistimewaan perisian ini ialah :

      Kerja penulisan dapat dilakukan dengan cepat, kemas dan teratur

      Kesilapan penulisan seperti ejaan dan tatabahasa dapat dikesan dengan mudah dan pembetulan dapat dilakukan dengan mudah dan cepat

      Penyuntingan dan penyambungan semula kerja dapat dilakukan pada bila-bila masa

      Pencetakan hasil kerja mudah dilakukan.

 

Peladang boleh menggunakan perisian ini untuk :

      Menulis surat

      Membuat laporan ladang

      Membuat kertas kerja bidang usaha

 

 

Perisian persembahan grafik

Perisian ini membolehkan pengguna menghasilkan grafik yang menarik, artistik dan berwarna warni. Maklumat boleh digambarkan dengan lebih jelas dan menarik melalui kontras warna dan bentuk grafik yang kreatif.

 

Keistimewaan perisian ini ialah :

      Maklumat dapat digambarkan dalam pelbagai warna

      Maklumat dapat dipersembahkan secara grafik yang menarik

      Maklumat dapat dipaparkan dalam bentuk grafik yang pelbagai seperti carta, graf dan animasi

      Maklumat dapat disunting dan dikemaskini dengan mudah tanpa mengganggu maklumat sedia ada

 

Peladang boleh menggunakan perisian ini untuk persembahan maklumat ladang secara grafik

 

 

Perisian hamparan elektronik

Perisian ini pada dasarnya digunakan untuk membuat pengiraan yang rumit dan kompleks. Manipulasi data kuantitatif dapat dilakukan dengan mudah dengan memberi arahan formula pengiraan. Perisian juga dapat menukarkan maklumat kuantitatif kepada pelbagai bentuk grafik yang menarik.

 

Keistimewaan perisian ini ialah :

      Dapat melakukan pengiraan secara automatik melalui arahan formula pengiraan

      Dapat menyusun data atau maklumat mengikut kehendak pengguna dengan cepat, tepat dan mengikut format yang dikehendaki

      Dapat memaparkan data kuantitatif dalam pelbagai bentuk grafik yang sesuai dan  menarik.

 

Peladang boleh menggunakan perisian ini untuk :

      Menghitung anggaran perbelanjaan dan pendapatan ladang

      Membuat belanjawan ladang

      Membuat analisis kewangan projek atau bidang usaha

      Menyediakan penyata kewangan projek atau bidang usaha

 

 

Perisian pangkalan data

Perisian ini boleh diibaratkan sebagai kabinet fail elektronik. Perisian ini membolehkan sistem fail dikendalikan dengan cepat dan cekap. Data atau maklumat yang banyak dapat disimpan tanpa menggunakan ruang yang besar seperti yang diperlukan dalam penggunaan kabinet fail secara manual.

 

Keistimewaan perisian ini ialah :

      Menyimpan banyak maklumat dengan menggunakan ruang penyimpanan yang amat kecil

      Data dapat disimpan mengikut kategori tertentu

      Data dapat dipaparkan secara cetakan dengan mudah

      Memudahkan pengurusan fail data; maklumat dapat diperoleh dengan cepat dan mudah.

 

Peladang boleh menggunakan perisian ini untuk pengurusan data seperti:

      Nama, alamat dan profil pelanggan, pekerja atau pembekal barangan ladang

      Profil, rekod dan statistik pengeluaran tanaman atau ternakan

      Rekod penyelenggaraan peralatan atau mekanisasi ladang

 

 

Perisian perekabentukan

Perisian ini membolehkan pengguna merancang reka bentuk dan melukis pelan kejuruteraan dengan mudah, tepat dan menepati kehendak.

 

Keistimewaan perisian ini ialah :

      Mereka bentuk dengan mudah dan tepat

      Menyediakan pelan reka bentuk kejuruteraan dengan cepat

      Menyediakan pelan tiga dimensi dengan mudah

 

Peladang boleh menggunakan perisian ini untuk merancang, mereka bentuk dan membangunkan landskap yang meliputi perancangan, penyediaan pelan dan susun atur komponen pelandskapan seperti pokok dan struktur kejur.

 

 

Perisian pengaturcaraan linear

Perisian ini pengaturcaraan kaedah matematik untuk merumuskan formulasi bahan seperti komposisi bahan makanan, kandungan nutrien dalam bahan makanan dan komposisi harga yang boleh diterima.

 

Keistimewaan perisian ini ialah dapat merumuskan formulasi dengan mudah dan tepat.

 

Peladang boleh menggunakan perisian ini untuk merumus komposisi bahan makanan bagi catuan makanan ternakan.

 

 

 

 

AKTIVITI 1:

 

MENYEDIAKAN LAPORAN PROJEK MENGGUNAKAN PERISIAN KOMPUTER.

 

Sediakan satu folio atau laporan projek atau laporan makmal menggunakan perisian Microsoft Word.

 

Masukkan sekurang-kurangnya satu bahan grafik di dalam laporan itu.

 

 


 

 

PERANAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN PERHUBUNGAN

 

Teknologi maklumat dan perhubungan atau ICT (Information and Communication Technology) merupakan disiplin ilmu yang amat penting pada era ini. Teknologi ini menyediakan kemudahan untuk mendapat dan bertukar-tukar maklumat dan berkomunikasi antara individu atau organisasi melalui rangkaian teknologi komputer.

 

Melalui internet, iaitu rangkaian antarabangsa melalui jaringan komputer World Wide Web (WWW), individu atau organisasi dapat :

      Mencapai atau mengakses pelbagai jenis maklumat di perpustakaan maya. Pelbagai jenis maklumat yang meliputi pangkalan data, imej, katalog, perkhidmatan dan sebagai dapat dikumpul.

      Membuat rujukan data atau maklumat boleh-baca di internet. Maklumat jenis boleh dirujuk tetapi tidak boleh dimuat turun atau diubah pinda oleh pengguna.

      Mengumpul dan mengguna semula data atau maklumat boleh-guna-semula di internet. Maklumat jenis ini boleh dimuat turun dan seterusnya disunting oleh pengguna.

 

Melalui internet juga, individu atau institusi boleh berhubungan secara maya. Antara manfaat teknologi perhubungan ini ialah :

      Dapat berhubungan secara pantas dan segera melalui perkhidmatan mel elektronik. Mesej perhubungan dapat disampaikan oleh penghantar dan diterima oleh penerima di mana sahaja di seluruh dunia dengan kadar kos sambungan talian telefon sahaja.

      Dapat membuat promosi, pengiklanan dan pemakluman secara luas, berkesan dan murah.

 

 


 

 

MENGAKSES INTERNET

 

Internet

Internet ialah satu rangkaian yang menghubungkan semua komputer di seluruh dunia yang disambungkan kepada sistem jaringannya. Jaringan ini dinamakan World Wide Web (WWW). Melalui jaringan ini beribu-ribu komputer, sama ada di rumah, pejabat, organisasi atau institusi dirangkaikan.

 

Rangkaian ini membolehkan pengguna komputer di seluruh dunia berhubung antara satu sama lain. Rangkaian ini juga membolehkan pengguna bertukar-tukar maklumat. maklumat ini meliputi carta, gambar atau imej, rajah, jadual, pangkalan data dan sebagainya. Maklumat yang dicapai melalui internet adalah dalam bentuk format boleh-guna-semula dan boleh-baca.

 

Justeru, internet merupakan pusat bagi segala maklumat dan digelar perpustakaan maya (virtual library). Perkhidmatan internet menyediakan katalog, pangkalan data, perkhidmatan, penerbitan dan sebagainya bagi membolehkan pengguna mengakses pelbagai jenis maklumat. Internet juga menyediakan kemudahan carian (search) untuk memudahkan pengguna mencapai maklumat yang diperlukan.

 

Internet juga menyediakan kemudahan mel elektronik (e-mail), berita dan perkhidmatan maklumat pada kos yang sama seperti sambungan talian telefon. Perkhidmatan mel elektronik memrupakan perkhidmatan piawai yang terbaik untuk menghantar dan menerima mel dengan cepat dan murah.

 

Oleh itu, perkhidmatan boleh dimanfaatkan untuk tujuan perniagaan, pendidikan, perhubungan, rekreasi dan sebagainya.

 

 

AKTIVITI 2 :

 

MEMILIH MAKLUMAT BERKAITAN PERTANIAN DARI INTERNET

 

Layari internet dan lawati mana-mana laman web yang berkaitan dengan pertanian seperti disenaraikan dalam Jadual 3.

(Komputer anda mesti mempunyai sambungan terus dail ke pembekal perkhidmatan internet atau sambungan rangkaian ke internet)

 

Langkah melayari internet :

  1. Pada desktop, klik ikon Internet Explorer  atau  Netscape
  2. Jika perlu taipkan ID pada kotak Member ID atau kata laluan anda pada kotak Password apabila diarahkan.
  3. Klik Connect. (Tetingkap Internet Explorer atau Netscape akan dibuka).
  4. Taipkan alamat laman web yang anda pilih di kotak ruangan Address. (Anda boleh juga membuat carian menggunakan enjin carian (Search Engine).

 

 


 

 

Jadual 3 : Contoh laman web berkaitan pertanian

Disiplin

Alamat laman web

Pertanian Di Malaysia

www.jaring.my/profit/economi2.html

www.xnet.com/~aliko/new/agr-body.html

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Pertumbuhan dan Hasil Tanaman

http://admin.upm.edu.my

www.cropking.com/cropking/intro.html

Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Pertumbuhan dan Hasil Tanaman

www.hammock.ifas.ufl.edu.txt/fairs/39596

www.jciat.org/forages.html

Perladangan Sebagai Suatu Perniagaan

www.jagri.stste.id.us/oneplan/ez/plan.html

 

Teknologi Dalam Pertanian

www.geocities.com/Rainforest/2249

 

 

INFO KHAS ...

Kenali jenis laman web.

 

Pengenalan yang lazim digunakan ialah :

 

.com     - perniagaan komersil

.edu      - institusi pendidikan

.gov      - entiti kerajaan

.mil       - ketenteraan

.net       - pembekal perkhidmatan internet

.org      - organisasi

 

 


 

RUMUSAN

 

  1. Komputer ialah mesin yang boleh menyimpan dan memproses data mengikut aturcara arahan yang diberikan.

 

  1. Komputer boleh memproses maklumat dan mengeluarkan output dengan cepat, tepat dan menepati bentuk yang dikehendaki.

 

  1. Komputer juga membenarkan perolehan semula maklumat dibuat dengan cepat.

 

  1. Pelbagai perisian telah dibangunkan dengan kegunaan dan faedah yang boleh dipraktikkan dalam pelbagai disiplin, termasuk pertanian.

 

  1. Peladang boleh memanfaatkan komputer untuk menyimpan dan memproses maklumat ladang, menyediakan laporan ladang dan mereka bentuk struktur ladang.

 

  1. Peladang juga boleh memanfaatkan teknologi komputer untuk mengumpul maklumat yang berguna serta berkomunikasi dengan segera melalui internet.

 

 

LATIHAN

 

  1. Apakah maksud tiap-tiap yang berikut ?
    1. aksara
    2. perisian komputer

 

  1. Namakan perisian komputer yang sesuai bagi tiap-tiap aktiviti berikut.
    1. Menyediakan laporan keseluruhan ladang
    2. Menyediakan belanjawan ladang
    3. Menyimpan maklumat pembeli hasil ladang
    4. Membuat persembahan laporan prestasi ladang kepada pelawat.

 

  1. Bincangkan peranan dan kepentingan teknologi maklumat dan perhubungan kepada sektor pertanian.