PENDAHULUAN

 

Pertanian pada asasnya adalah suatu usaha menghasilkan bahan-bahan makanan dengan cara bercucuk tanam, menternak binatang, memelihara dan menangkap ikan. Fungsi pertanian pada peringkat awalnya adalah untuk memenuhi keperluan asas manusia iaitu makanan dan minuman. Namun apabila meningkatnya tamadun manusia, fungsinya telah bertambah kepada mengindahkan alam sekitar dan rekreasi.

Untuk menjayakan aktiviti-aktiviti pertanian itu, air merupakan satu keperluan. Air merupakan satu anugerah Allah s.w.t. yang amat penting dan berharga kepada kehidupan samada kehidupan manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan yang ada dibumi ini. Tanpa air, manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan akan binasa.

Firman Allah s.w.t. berbunyi:

 

Maksudnya: "Dan tidaklah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya tercantum (sebagai benda yang satu), lalu kami pisahkan antar keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?". Al-Anbiyaa (21):30)

Air hujan yang diturunkan oleh Allah s.w.t. dari langit akan menghidup dan menyuburkan tanam- tanaman di bumi dan dari berbagai-bagai jenis tumbuh-tumbuhan (yang boleh dimakan) menjadi makanan manusia dan binatang, samada dari daun, isi atau buahnya. Dengan air juga akan menghijaukan bumi dengan tumbuh-tumbuhan dan mencantikkannya dengan bunga-bungaan yang berbagai warna.
Firman Allah s.w.t. berbunyi:

 


Maksudnya: "(Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalan seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanam-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang bercampur-baur dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu: hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya); datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari, lalu Kami jadikan dia hencur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kamu yang mahu berfikir dan mengambil iktibar daripadanya)".
(Yunus (10): 24)
Firman Allah s.w.t. lagi:

 


Maksudnya: "Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh- tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai".
(Al-Hajj (22): 5)


Dengan air hujan juga akan mengairkan laut dan sungai-sungai, bagi membolehkan hidup-hidupan laut dan sungai hidup di dalamnya serta bagi kemudahan laluan bagi manusia. Semuanya ini memberi manfaat kepada manusia.
Firman Allah s.w.t. berbunyi:

 


Maksudnya: "Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadikan makanan bagi kami; dan Ia yang memberi kemudahan kepada Kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk Kamu (mengambil manfaat darinya)".
(Ibrahim (14): 32)
Firman Allah s.w.t. lagi:

 


Maksudnya:"Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup, dan pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya; dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu-lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamatnya yang kamu tuju".
(An-Nahl (16): 14 - 15)

Allah s.w.t. juga telah menciptakan kepada manusia, binatang-binatang ternakan yang berbagai jenis (Yassin (36): 71) dan warnya (Fatir (35:28) untuk dijadikan sebagai manakan, tunggangan dan lain-lain faedah.

Firman Allah s.w.t. berbunyi:


Maksudnya: Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?".
(Yassin (36): 73)

Dari huraian ringkas di atas, anugerah Allah s.w.t. di bidang pertanian samada dari segi air, tumbuh-tumbuhan dan binatang amat perlu bagi kehidupan manusia dan kita sebagai makhluk Allah s.w.t. perlu bersyukur terhadap segala nikmat yang diberikan.

 

PERTANIAN SATU TUNTUTAN FARDU KIFAYAH

Pertanian adalah salah satu tuntutan semula jadi manusia yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. yang berfungsi untuk memenuhi tuntutan jasmani dan rohani manusia. Oleh kerana Islam adalah sebuah agama yang merangkumi aspek dunia dan akhirat, maka pertanian adalah salah satu daripada tuntutan agama. Ia menjadi satu tuntutan Fardu Kifayah jika didapati sebahagian daripada anggota masyarakat terpaksa menjalankan tugas-tugas yang lain dalam menyempurnakan kehidupan mereka. Dalam konteks dunia hari ini, pertanian lebih merupakan satu tuntutan Fardu Kifayah oleh kerana manusia, hasil daripada perkembangan tamadun mereka, terpaksa menumpukan kepada pengkhususan kerja dalam berbagai bidang, seperti terkandung di dalam Al-Quran yang berbunyi:


Maksudnya:"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-merata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kami sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)".
(Al-Mulk (67): 15)

Bidang pertanian adalah suatu bidang yang luas yang memerlukan usaha secara fizikal dan mental. Sumbernya adalah laut dan darat iaitu merangkumi perikanan, tanaman, ternakan, perairan dan keindahan alam sekitar. Dari laut diperolehi berbagai sumber seperti ikan-ikan, rumpai-rumpai dan juga tumbuh-tumbuhan lain untuk dijadikan bahan makanan, perhaisan dan ubat-ubatan. Dari sumber daratan pula diperolehi berbagai hasil ternakan, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya, juga dijadikan sebagai bahan makanan, ubat-ubatan dan perhaisan. Hal ini disebutkan oleh Allah s.w.t. sebagai anugerahNya kepada manusia umpamanya yang tersebut di dalam ayat Al-Quran yang berbunyi:


Maksudnya: "Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut dan makanan yang didapati dari laut sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati klazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan".
(Al-Maa’idah (5): 96)

Dan juga dalam ayat berikut yang berbunyi:

 


Maksudnya: "Dan juga (keadaan) bumi ini, (bagaimana) Kami bentangkan dia sebagai hamparan dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, serta Kami tumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur? (Kami adakan semuanya itu) untuk menjadi perhatian dan peringatan, (yang menunjukkan jalan kebenaran), kepada tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya (dengan taat dan berbakti).

Dan juga kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan ) dan biji-bijian yang dituai

Serta pohon-pohon kurma yang tinggi menjulang, yang mengeluarkan mayang berlapis-lapis lagi lebat putiknya.

(Semuanya itu) sebagai rezeki bagi hamba-hamba Kami. Dan lagi Kami telah hidupkan dengan air itu bumi yang mati; demikianlah pula keadaan keluarnya (orang-orang yang mati dari kubur setelah dibangkitkan hidup semula)".
(Qaaf (50): 7 - 11)

Kehidupan manusia memerlukan sumber-sumber yang boleh memenuhi tuntutan fizikal, mental dan spiritual. Tuntutan fizikal akan dipenuhi melalui bahan-bahan makanan yang lazat-lazat dan baik dari sumber darat dan laut. Tuntutan mental pula dapat dipenuhi melalui ilmu pengetahuan, sama ada dari sumber wahyu atau yang dihasilkan oleh pemikiran manusia yang dijadikan Allah s.w.t. seperti ilmu-ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah, ilmu-ilmu penjagaan kesihatan dan ilmu-ilmu membina tempat perlindungan seperti rumah dan sebagainya. Manakala tuntutan spiritual pula dapat dipenuhi melalui amal ibadat khusus seperti sembahyang, zikir dan tidak terkecuali juga melalui kegiatan-kegiatan rekreasi serta menikmati keindahan alam sekitar. Tuntutan- tuntutan ini diiktiraf oleh Islam sebagai sebahagian daripada keperluan Islam sebagaimana firman Allah s.w.t. yang berbunyi:


Maksudnya: "Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman".
(Al-Maa'idah (5): 88)

 


Maksudnya: "Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya; dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya; dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan supaya kamu bersyukur".
(An-Nahl (16): 14)

 


Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhamad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya? "Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui".
(Al-A’raaf (7): 32)

Para petani, penternak dan nelayan adalah barisan utama dalam sebuah masyarakat yang telah melaksanakan tuntutan Fardu Kifayah, demi memakmur kehidupan masyarakat sama ada dari segi makanan, minuman dan rekreasi. Keindahan dan sumbangan mereka adalah amat besar dari kaca mata agama dan masyarakat. Mereka adalah sama penting dengan guru-guru agama, pentadbir-pentadbir, doktor-doktor dan lain-lain yang juga memainkan peranan memenuhi keperluan kehidupan masyarakat. Dalam masyarakat kini, para petani, penternak dan nelayan adalah mereka yang telah menyumbangkan pendapatan dan harta mereka kepada orang-orang miskin dengan pengeluaran zakat. Mereka yang mampu mengeluarkan zakat adalah mereka yang berkemampuan dan cukup syarat. Mereka yang mengeluarkan zakat ini adalah mereka yang berjaya sebagaimana disebutkan oleh Allah s.w.t. di dalam ayat-ayat seperti berikut yang berbunyi:


Maksudnya: "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaiatu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu)".
(Al-Mu’minuun (23): 1 - 4)

dan di dalam hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang diririwayatkan oleh at-Tibrani yang berbunyi:


Maksudnya: "Sesiapa mencari harta dunia secara halal dengan maksud untuk menghindarkan diri dari meminta-minta dan untuk membela kehidupan keluarganya, juga kerana bersimpati terhadap nasib tetangganya, nescaya ia akan menemui Allah (pada hari kiamat) dengan keadaan wajahnya berseri-seri bagaikan bulan purnama".
(Riwayat at-Tabrani)

Pertanian adalah satu sumbangan utama kepada kehidupan manusia. Ia merupakan salah satu tuntutan Fardu Kifayah yang mesti dilaksanakan dengan penuh yakin. Dengan melaksanakan tuntutan Fardu Kifayah, bukan saja terlaksana tuntutan agama tetapu juga memberi sumbangan yang besar kepada peningkatan tahap ekonomi negara. Oleh kerana kurangnya keyakinan dan penekanan kepada sektor pertanian, maka sektor ini telah menjadi merosot dari tahun ke setahun dari segi sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan gunatenaga, dan ini boleh mengakibatkan negara lebih bergantung kepada sektor lain. Sedangkan dalam konteks tuntutan Fardu Kifayah, sektor penyediaan bahan makanan dan minuman (pertanian) adalah lebih utama berbanding dengan sektor pembuatan barang-barang mewah. Dasar Pertanian Negara (DPN 1992 - 2010) yang dilancarkan pada 1 Februari 1993 oleh Y.A.B. Perdana Menteri, mempunyai matlamat untuk memaksimumkan pendapatan melalui penggunaan sumber secara optima. Ini termasuk pencapaian pembangunan seimbang antara sektor pertanian dengan sektor yang lain, terutama sektor pembuatan dan pencapaian pembangunan industri makanan pada tahap yang lebih tinggi dan menyeluruh. Usaha pembangunan pertanian akan dilaksanakan berasaskan kepada pembangunan yang berterusan.

Berdasarkan keadaan sekarang, adalah didapati sektor pertanian masih belum mencapai tahap pembangunan sebagaimana diharap-harapkan. Peratus sumbangan sektor ini semakin berkurangan samada dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan gunatenaga. Dari segi kemiskinan pula, Jadual 1 jelas menunjukkan bahawa kadar kemiskinan di kalangan petani masih tinggi. Kadar kemiskinan yang paling tinggi adalah di kalangan pesawah padi (43.0%), pekebun kecil kelapa (39.3%), pekebun kecil getah (35.8%), nelayan (26.0%) dan pekerja estet (15.3%). Jika kita ambil pesawah padi, pekebun kecil kelapa, pekebun kecil getah dan nelayan, kita dapati majoriti daripada mereka adalah orang-orang Islam dan sebahagian besar daripada mereka itu masih hidup dalam lingkaran kemiskinan. Di samping Kerajaan memperkenalkan Dasar Pertanian Negara (1992 - 2010), usaha-usaha perlu juga dibuat untuk melihat bagaimana Islam yang berpandukan kepada Al-Quran melihat pertanian itu dalam kehidupan manusia.


Previous Next