Membaja 
    Tabur baja sebatian NPK Blue Special (12:12:17:2) di keliling pokok setiap 2 
    minggu. Untuk sehektar memerlukan 1 tan baja. 
    Menyiram 
    Siram sekali sehari pada waktu petang. Penyiraman penting di peringkat pokok 
    mengeluarkan bunga dan pembentukan buah. 
    Merumput 
    Cabut rumpai jika perlu atau gunakan racun herba. Ikut arahan pada label 
    racun herba tersebut. 
    Sungkupan 
    Buat sungkupan daripada jerami padi, daun-daun kering atau kepingan 
    plastik hitam bagi mengawal rumpai dan untuk mengekalkan kelembapan tanah.
    
    Memangkas 
    Setelah semua hasil dipetik, pokok-pokok perlu dipangkas setinggi 40 sm 
    hingga 60 sm dari paras tanah untuk mendapatkan hasil bagi kali kedua. Empat 
    hingga lima tunas baru dibiarkan membesar selepas pemangkasan. Pemangkasan 
    ini diikuti dengan pembajaan. 
    PENUAIAN 
    Buah-buah bendi boleh dituai dengan memotong 2 sm dari pangkal buah. 
    Elakkan dari tercedera kerana lendirnya akan keluar berterusan dan ini boleh 
    menjatuhkan mutu buah. Penuaian mula dilakukan ketika: 
     
    
      
        | i. | 50 hingga 55 hari 
        selepas menanam. | 
      
        | ii. | 5 hingga 6 hari 
        selepas bung berkembang dan berlaku pendebungaan. | 
      
        | iii. | Buah berukuran 10 
        hingga 12 cm panjang, iaitu buah-buah masih lembut, hujungya rapuh, 
        senang dipatahkan dan belum berpulur. | 
    
    Pada peringkat ini buah-buah telah mencapai kadar pertumbuhan yang paling 
    tinggi dan hendaklah dituai supaya pokok-pokok bendi boleh terus 
    mengeluarkan bunga-bunga baru dan seterusnya menjamin pengeluaran buah yang 
    berterusan. Hasil dikutip setiap 2 hari sekali dan berterusan sehingga 8 
    minggu. Jumlah hasil dianggarkan 10,000 hingga 15,000 kilogram sehektar. 
    Buah-buah bendi boleh dipasarkan antar RM 3.00 hingga RM 4.00 sekilogram. 
    
    PENGENDALIAN LEPAS TUAI 
    Buah-buah yang telah dituai dikumpulkan di tempat teduh dan dimasukkan di 
    dalam bakul (plastik atau buluh) yang telah dialas dengan kertas atau 
    plastik cerah yang berlubang. Ia hanya boleh disimpan selama 2 hingga 3 hari 
    sahaja tanpa dibungkus dengan plastik. Sedikit air perlu dipercikkan supaya 
    pengudaraan menjadi lembap. Buah-buah yang dibungkus dengan beg plastik 
    boleh disimpan selama 7 hingga 8 hari dalam keadaan suhu 24 darjah C hingga 
    26 darjah C dan kelembapan bandingan 70 hingga 75 peratus.